Thursday, February 14, 2008

Pilihanraya ibarat wang turun dari langit!

ADOI! Lama betul tak update blog ni. Sibuk dan badan tak berapa sihat. Asyik keluar masuk klinik. Sekarang baru lega sikit dan bolehlah kembali bercerita. Sekarang musim demam juga, iaitu demam pilihanraya.

Selepas PM bubar Dewan Rakyat dan SPR umum tarikh Pilihanraya Umum, maka ahli-ahli politikus dan pengikutnya bergegas ke sana ke mari. Order poster. Order kain rentang. Buat T shirt. Upah budak2 naikkan bendera parti. Oleh kerana UMNO dan BN lebih kaya, maka mereka menjadi majikan yang paling ramai jentera.

Aku dapat panggilan dari seorang kawan lama. Ungkapan dia mudah saja: "Jom kita tampal poster. Jangan takut, ini mesti masyuk punya! Bulan ni soru tak miss punya brader! Ada dua parti yang dah ajak kita naikkan bendera dan budak2 kita semua dah standby!"

Hah tu dia! Pilihanraya bawa rezeki pada ramai orang. Masa ni juga ramai yang datang menagih macam2 benda. Ahli2 perniagaan besar pun akan kena pow. Tapi mereka tak risau punya. Mereka akan 'labur' dalam parti yang mereka suka dan sokong. Dan mereka juga ambil insurans - kalau bagi UMNO dan BN satu guni duit, mereka akan bagi pihak lawan setengah guni.

Ini mainan politik orang bisnes. Kawan2 aku cuma tunggu seru bila nak tampal poster, naikkan bendera, koyak poster, turunkan bendera dan bermacam kerja lain.

Aku baca macam2 blog dan mereka meramalkan pilihanraya kali ini memang berbeza dari yang lain. Ia diadakan semasa banyak isu yang masih belum selesai - kenaikan harga barang, tuntutan Hindraf yang menyatukan masyarakat India, tuduhan kroni dan usaha kayakan famili tertentu, pentadbiran yang banyak buat janji dan pengumuman beberapa koridor yang belum tahu penghujungnya, peminggiran orang melayu, isu kehakiman, dan macam2 lagi.

Kita tunggu manifesto parti2 yang bertanding. Kita tunggu siapa antara mereka yang paling kuat buat janji. Bak kata Saloma, janji boleh bawa akibat beb! Aku biasa tengok orang2 politik yang lidah mereka lagi lembut dari sutera. Dan mereka jugalah yang paling pertama mendurjanakan janji2 itu...

Kita rihat dulu. Besok kita jumpa member2 politik dan tengok gelagat mereka! Aku nak tengok apa lagi yang mereka nak kata!

Wednesday, January 23, 2008

Thaipusam tahun ini besar maknya!

Hari ni cuti beb! PM baru aje buat pengumuman bahawa Perayaan Thaipusam ialah cuti umum untuk KL! Tambah lagi satu hari cuti dalam kalendar! PM betul-betul perihatin terhadap perayaan keagamaan, tak kira agama mana.

Aku ada juga dengar sosek-sosek di kalangan setengah orang. Biasalah tu. Ada yang kata kerajaan bagi muka pada tuntutan puak ekstremis Hindu yang mendesak agar Perayaan Thaipusam diiktiraf sebagai satu perayaan besar negara kita.

Dulu parti komponen BN, MIC, pernah juga minta cuti umum untuk Thaipusam. Kerajaan bagi juga, tapi bukanlah selepas demo besar-besaran seperti yang dibuat oleh Hindraf hujung tahun lepas.

Di kalangan Orang Melayu, ada yang kata kerajaan yang diterajui oleh UMNO, parti Orang Melayu, mudah sangat memberi laluan pada desakan Hindraf. Kata mereka, kalau beginilah caranya, Orang Melayu pun boleh buat demo minta cuti beberapa lagi tarikh penting dalam Islam.

Ada juga kata, apa salahnya PM bagi cuti pada Thaipusam. PM kita bukan PM orang Melayu saje. Dia juga PM semua bangsa. Dia kenalah berlaku adil. Kalau tak boleh buat sekaligus, buat secara berperingkat.

Tapi kau tahulah. Inikan ke musim politik. Banyak yang perlu dipertimbangkan. Ada yang kata PM nak cuba baikki hubungan antara kerajaan dan pengundi Hindu. Samada ini betul atau tidak, kita sama-sama tunggu dan lihat. Aku ada sedikit sangsi dalam hal ni...

Aku rasa jalanraya di KL pasti rileks sikit. Kawan-kawan selalu bagi tau bahawa pada hari Thaipusam di tahun2 lalu, jalan penuh sesak kerana Selangor cuti tetapi KL kerja. Orang Selangor keluar beramai-ramai ke KL nak shopping atau jalan-jalan cari makan.

Kalau aku jadi ahli Hindraf, aku mesti 'celebrate' punya! Tau-sama-tau sudahlah beb! Ini satu kemenangan besar bagi Hindraf, satu kejayaan saikologi yang penting. Hindraf tentu dapat semangat baru dari pemberian PM ni.

Agak-agaknya, apa lagi tuntutan Hindraf yang akan diberi layanan positif oleh PM? Kalau Hindraf tekan kuat lagi, apa lagi yang mereka boleh dapat? Ada jeneral lima bintang dalam ATM? Ada MB atau CM baru dari MIC?

Aku tak berani nak ramal yang ini tak akan berlaku...macam-macam boleh jadi beb!

Wednesday, January 16, 2008

Ada menteri dah habis tempoh gunapakai?

Amacam hujung minggu ni? Enjoy ke? Ada kena kena roti canai? Aku macam biasalah. Kena roti canai Mydin tapi aku tengok dah kecik sikit saiznya. Bedal ajelah, apa nak buat. Dah jadi tabiat tiap-tiap hari minggu kena roti dengan member-member.

Hari ni member semua cerita fasal pilihanraya. Dia orang kata memang dah dekat betul. Ada yang kata paling lewat cuti sekolah bulan tiga (Mac). Mungkin ya, mungkin tidak.

Tapi aku tengok isu banyak. Mak bapak masih lagi menyungut fasal yuran sekolah (kejap kena bayar, kejap tak payah bayar, kejap tak payah bayar kalau tak mampu); harga barang makin naik walaupun kerajaan kata tak naik banyak; jenayah menjadi-jadi; banyak kes yang polis tak dapat selesaikan; bunuh membunuh pun dah jadi macam biasa aje; orang politik sibuk ke sana ke mari tabur janji tapi tak kotakan; pak menteri kecoh kata mengata; korupsi tambah kuat sana sini; Mat Rempit dah jadi King of the Road; dan anak kecil tak selamat lagi.

Aku bukan orang politik, tapi sana sini orang sibuk dengan hal politik. Dalam pada itu, aku nak tanya - kau ingat ada tak menteri kabinet atau menteri besar atau MP atau ADUN yang tarik diri secara sukarela?

Bukan apa beb! Setiap kali ada pilihanraya, perebutan kerusi memang panas. Kau tengok saja Kabinet hari ni. Berapa ramai menteri yang dah letih, dah season kata budak-budang sekarang. Ada yang merasakan dia dah lama betul sehingga tak boleh ditegur.

Ada juga yang merasakan sumbangannya begitu hebat sehingga dia dah jadi 'indispensable' atau 'wajib ada dalam kabinet.' Pada aku, mereka ni dah mula berkarat. Elok ketepi aje. Buat benda lain. Jadi penasihat cukuplah. Bagi peluang pada orang lain.

Mesti ada antara mereka yang dah tamat tempoh gunapakai!

Friday, January 11, 2008

Jenayah menjadi-jadi; kita diancam lagi

Berita panas hari ni ialah kematian pembesar MIC Johor. Beliau kena tembak dalam lif, kata berita radio dan TV. Polis sedang siasat. Sama juga Polis sedang siasat kehilangan kanak-kanak 5 tahun yang dah masuk hari ketiga atau keempat.

Kes pembunuhan kejam Nurin masih belum selesai, dah timbuk kes baru. Polis bikin apa?

Berita macam ni datang selepas PM kata jenayah meningkat selepas beliau bertemu pegawai-pegawai tinggi Polis di Bukit Aman beberapa hari lalu. La ni, tak ada sesiapa pun boleh menafikan kenyataan PM tu. Tinggal lagu, rakyat biasa dah lama kata begitu...

Aku merasakan kita hidup dalam serba ketakutan. Ada member-member kata hidup 'under siege,' maknanya kita sentiasa hidup dalam ancaman. Aku rasa member-member ni betul.

Ancaman dari dalam ni lebih bahaya beb. Dan ancaman datang dalam macam-macam bentuk. Nak berniagapun boleh kena ancam. Ada pegawai kerajaan minta duit kalau nak luluskan projek, tak kira besar atau kecil. Lagi besar projek, lagi besar fulus yang mereka minta.

Yang aku takut dan nak tahu - mungkin lagi tinggi pangkat pegawai, makin tinggi pulak permintaannya. Aku tahu tak semua pegawai kerajaan macam tu. Ada juga yang baik dan lurus.

Semalam, ada kawan cerita yang pegawai kerajaan 'pow' sama dia. Dalam bahasa budak-budak sekarang, 'pow' tu maknanya minta bayaran kalau nak dapat apa yang dihajati. Member aku ni baru nak mula berniaga, tapi dah ada pegawai kerajaan yang minta bukan-bukan.

Kawan-kawan politik pula kata, dia tengah siap nak berkempen kerana pilihanraya umum dah dekat. Aku bilang pada dia, dia dah terlambat. Orang yang benar-benar dalam politik dah lama berkempen. Ada kawan sibuk buat poster, T shirt, topi dan kain rentang. Tak lama lagi, kita semua boleh tengok bendera parti dan poster sana sini.

Kawan dalam parti pemerintah bagi tau, dia yakin partinya akan menang besar. Aku kata pada dia, menang nak tubuhkan kerajaan tak mustahil. Tapi tak mungkin menang macam pilihanraya 2004. Rakyat hari ni masih menagih janji.

Aku tak tahu apa nak cakap. Aku tengok isu sosial menjadi-jadi; pertelingkahan politik dalam parti tak reda dan mungkin panas apabila pencalonan mendapat tentangan dalaman; orang bisnis kata perkembangan ekonomi tak sehebat seperti yang dihebohkan.

Macam-macam boleh jadi beb! Kedai mamak dan bagi amaran - jangan harap roti canai boleh kekal jadi sarapan pagi! Kalau roti canai pun boleh bahan tekanan, apa lagi yang boleh jadi Pak?

Tuesday, January 8, 2008

Menteri jangan bikin rakyat keliru

Dua tiga hari yang lepas ni sibuk fasal sekolah baru buka sampai tak sempat nak blog. Hari ni baru ada peluang. Dua tiga hari yang lepas pun banyak juga yang buat aku bingong.

Mula-mula fasal yuran sekolah. Menteri Pendidikan Datuk Hishammuddin Tun Hussein kata tak payah bayar yuran lagi. Kerajaan tanggong semua! Bunyi macam suara orang berkempen pilihanraya.

Lepas tu, bila mak bapak pergi sekolah, tiba2 macam-macam yuran yang nak kena bayar! Tak habis kat situ beb - Menteri buat kenyataan pulak mengatakan kalau tak mampu tak payah bayar!

Mana dia punya 'though process' beb? Yang mana satu mak bapak nak dengar? Aku hairan juga ngapa menteri cakap berbelit-belit! Susah nak faham! Kalau bagi pilihan pada mak bapak, dah tentu tak mau bayar fasal Menteri kata kerajaan tanggong semua!

Dalam kerajaan hari ni, terlalu banyak retorik yang dibuat ikut sedap mulut. Aku cuma nak ingatkan mereka yang suka buat kenyataan retorik ni - kerana mulut badan binasa! Dalam pilihanraya yang akan datang, rakyat akan bersuara. Kalau salah haribulan boleh hanyut pembesar-pembesar negara!

Dah tu meletop pula interview NST dengan Menteri Radzi Sheikh Ahmad yang bertelingkah dengan MB Perlis Shahidan Kassim. Kata Radzi, Azmi Khalid layak jadi MB Perlis kerana dia ada bini cantik. Dan Azmi juga kawan lama Radzi!

Hello BEB! Lu mana marilah? Ini kenyataan dari seorang Menteri kanan, bukan sebarang menteri. Dan dia juga Setiausaha Agong Umno! Apa dah jadi ni?

Kalau menteri boleh buat kenyataan yang mengelirukan (macam Hishammuddin) atau berbau sexist dan cetek intelek (seperti Radzi), ke mana negara kita nak dibawa? Kalau orang macam ni terus memimpin...

Orang macam Hishammuddin mungkin ada peluang lagi kerana dia masih muda dan bertenaga. Dia pun ada sekolah sikit. Kalau nak ikut paras rupa bini, bini dia pun cun juga!

Tapi kalau buat kenyataan tu, buat elok-elok. Jangan ambigious, kata Mat Salleh. Makna cakap dengan jelas dan jangan buat oleh terteka-terteka yang mana satu menteri maksudkan!

Friday, January 4, 2008

Samy Vellu main wayang gelap ke?

Aku terbaca Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu nak rombak parti dan bikin road show. Dia nampak bersemangat betul. Aku nak gelak pun ada bila cerita fasal Pak Samy ni.

Bila dia dah kena lanyak akibat demo yang dibuat oleh Hindraf, barulah Pak Samy tergesa-gesa nak buat macam-macam. Sebelum ni, Pak Samy duduk bersenang lenang macam maharaja dan langsung tak mahu dengar kritikan yang dilempar kepadanya.

Malah, katanya, hanya MIC yang layak memperjuangkan kedudukan rakyat India di negara ini. Dia tak layan langsung parti yang dipimpin oleh Kayveas atau Pandithan. Pak Samy tak mahu kongsi kuasa dengan sesiapapun dari masyarakat Hindu.

Aku tak nampak macam mana Pak Samy boleh berjaya dalam usahanya ni. Nak rombak parti, nak buat road show, nak tenangkan masyarakat Hindu, nak pastikan kuil Hindu tak diroboh dan yang baru dibina, nak kempen untuk BN dalam pilihanraya umum akan datang, nak macam-macam lagi. Besar juga nafsu Pak Samy ni!

Pak Samy mungkin popular di Sg Siput. Dia juga mungkin disegani parti komponan BN. Tapi, aku rasa Pak Samy dah hampir ke penghujung jalan. Bila dia kena ejek di satu perjumpaan minggu lalu, aku nampak Pak Samy dah nazak.

Bila Tun Mahathir Mohamad berundur dulu, ramai yang meramalkan pemimpin besar parti yang dah lama berkhidmat turut beredar juga. Atau buat rancangan untuk beredar. Akhirnya, cuma Lim Keng Yeik yang memimpin Gerakan saja yang melepaskan jawatan.

Bukan senang nak lepaskan kuasa beb! Aku dah kata dalam posting lampau! Chua Soi Lek mula-mula pun tak mau lepaskan jawatan tapi akhirnya hanyut juga dibawa arus. Kali ni, aku rasa Hindraf dan pengikut-pengikutnya akan ajar Pak Samy.

Pak Samy ni tak ubah macam 10 budak hitam yang main tepi longkang. Akhirnya, semua terjun dalam lobang. Sama-samalah kita tengok kesudahannya. Tapi ada juga member yang bisik pada aku bahawa Hindraf ni sebenarnya NGO yang mendapat 'restu' ramai pemimpin masyarakat Hindu, termasuk...

Macam wayang gelap pun ada beb!

Wednesday, January 2, 2008

ADA LAGI YG SEJUJUR CHUA SOI LEK?

Aku dah agak dari awal lagi. Dato Dr Chua Soi Lek akhirnya letak jawatan sebagai Menteri Kabinet dan pemimpin parti MCA. Soal dia dah selesai. "Cut and dry,' kalau ikut cakap Mat Salleh.

Dia berani, tegas dan berpendirian. Aku hormat dia. Dia orang yang berani buat, berani tanggong. Dalam hal skandal seks ni, Dr Chua juga tak cakap bohong. Ungkapan 'siakap, senohong, ikan duri, pandai cakap bohong, boleh jadi menteri' tak boleh digunakan untuk Dr Chua.

Aku tabik dia. Dr Chua ni gentleman juga orangnya. Dia sedar bahawa apa yang dibuatnya salah dari segi moral dan etika seorang pemimpin. Tu fasal dia letak jawatan, tanpa berdolak dalik lagi.

Bukan senang nak lepaskan kuasa beb. Mula-mula aku rasa dia cuba juga nak bertahan. Tapi arus terlalu kuat dan dia tak mampu nak melawan gelombang. Realiti politik memaksa beliau mengambil jalan yang wajar, iaitu berundur.

Dr Chua tidak perlu menunggu hukuman rakyat dalam pilihanraya umum akan datang. Dia menghukum dirinya dulu. Ini satu sifat yang perlu dicontohi oleh ramai pemimpin kita. Aku tengok sidang media dia ketika mengumumkan keputusan untuk letak jawatan. Dia berhati-hati membuat kenyataan. Memilih kata-kata yang diluahkan dengan teliti.

Tapi maksud kata-kata dan tindakannya jelas beb. Aku rasa ramai orang faham. Cuma dia tak sebut nama saja. Dia pun tahu ramai lagi kawan-kawannya yang berkelakuan tak senonoh. Kita semua pun dengar desas-desus pemimpin berfoya-foya ke sana ke mari dengan makwe mereka.

Apa kau kata? Ada juga yang ke sana ke mari dengan pakwe? Hello beb, cakap baik-baik sikit! Jangan nak memandai-mandai buat cerita dan tabur fitnah.

Dr Chua sebenarnya marah dan geram. Dia juga marah pada dirinya. Tapi mungkin lebih marah dan geram pada musuh-musuhnya. Aku rasa Dr Chua tahu banyak rahsia tetapi tak mahu mengaibkan orang lain. Mungkin dia mengamalkan polisi 'pandai makan, pandai simpan.'

Selepas skandal ini, aku percaya orang ramai perlu tatap wajah semua pemimpin kita. Mesti ada antara mereka yang buat macam-macam karenah. Mungkin ada yang korup, salahguna kuasa, kuat main judi, simpan perempuan, pasang bomoh rata-rata, tabur fitnah sana sini, kaki arak dan entah apa lagi maksiat kecil dan besar.

Dr Chua kata, seseorang pemimpin yang buat silap tak boleh berkhidmat dalam masyarakat hadhari. Waduh! Pedih tu beb! Maksudnya, pemimpin macam tu tak 'hadhari compliant!' Dalam saat-saat akhirnya sebagai orang kenamaan, Dr Chua sempat juga mengajak kita semua memikirkan soal-soal harga diri, nama baik dan maruah.

Aku cuma ada satu soalan ekoran kes ni - ada lagi ke pemimpin sejujur Chua Soi Lek?

Tuesday, January 1, 2008

BERASMARA DI HOTEL TAK SELAMAT!

Alamak! Apa dah jadi beb? Lambaran tahun baru dibuka dengan skandal! Bukan kecik punya skandal! Ini hal menteri Kabinet yang jaga kesihatan tapi buat kerja yang tak sehat! Sekali lagi aku nak kata - apa dah jadi beb?

Malam tadi rata-rata kawan-kawan hantar sms keliling dunia. Dia orang tanya betul ke apa yang dia orang dengar! Macam mana aku nak cakap sedangkan aku sendiri tertanya-tanya! Lagipun, tak baik buat cerita yang bukan-bukan terhadap pembesar negara.

Ramai orang tertanya-tanya siapa menteri yang disebut sebagai pelakon utama dalam skandal sex video itu. Kabar angin tu kata dia seorang menteri dari MCA. MCA ada tiga menteri dalam kabinet dan ramai yang kata dia orang Johor.

Namun, tadi semua dah terjawab. Menteri kesihatan keluar dalam radio dan televisyen dan mengesahkan bahawa dialah individu yang dimaksudkan dalam video berkenaan. Dengan nada yang kesal, dia mengaku berbuat demikian.

Aku ada dua, tiga soalan: Pertama, macam mana menteri ni boleh terperangkap dalam kegiatan ni? Kedua, siapa punya kerja yang sanggup rakam apa yang menteri tu buat? Ketiga, tak ada 'privacy'lagi ke kat Malasia ni?

Aku pening sikit memikirkan hal macam ni. Kita pun tahu menteri bukan malaikat. Mereka pun manusia biasa, tak sepi dari ujian dan godaan. Tapi, ngapa sampai ada orang sanggup buat rakaman semasa pasangan ni berasmara? Mesti ada pihak yang bagi kerjasama, atau merancang sehinga semua kerja beres!

Apapun, kita jangan mudah ketawakan menteri tu. Dia akan menerima balasan bila tiba masanya nanti. Dari segi kerja, Boss dia akan tentukan samada kekal dalam Kabinet atau tidak. Dalam MCA, pun Boss dia yang akan tentukan. Dalam keluarga, ini hal berat walaupun isteri dah maafkan dia. Dari aspek politik, aku rasa gelap masa depan...

Kita sama-sama tunggu. PM mesti pening kepala punya! Lepas Umno Perlis buat hal, timbul pulak hal MCA. Dalam sebulan lepas, Gerakan dengan Umno ada perang dingin ekoran kenyataan pemimpin kerajaan yang kata Umno tak cukup bantu masyarakat India. Dan MIC pula dikatakan taklah begitu dipercayai lagi oleh masyarakat India akibat tindakan Hindraf.

Berat beb! Ini semua kes berat! Semalam aku kata, nombor 8 bawa ong atau tuah, menurut kaum Cina. Tapi kalau berpandukan kes terbaru ni, aku tak nampak dimana ong tersebut! Jumpa lagi beb!

TAHUN BARU NI SELAMAT KE?

Aku dah kata yang aku akan buat blog. Semua kawan-kawan tak percaya. Dia orang fikir aku cakap tak serupa bikin. Silap kau orang lah beb! Aku Mat Bond Kg, tak suka cakap bohong, berani buat berani tanggong!

Setakat nak menulis tak ada hal punya! Setakat nak bercerita semua orang pun boleh. Duduk kena teh tarik atau kopi O dekat kedai simpang, kita boleh cerita berjam-jam. Tak ada hal punya. Kalau Abang Kedai tu ada Astro, lagi best!

Aku pilih hari ni buat blog fasal ini tahun baru. 2008 beb! Kawan Cina kata nombor 8 bawa ong, bawa tuah katanya. Aku tak berapa pasti bab tu. Tapi apa salah kita buka tahun baru dengan benda baru. Bak kata orang tua kat kampong, belum cuba belum tahu.

Aku bukan sasterawan. Itu aku nak bagi tau kau orang semua. Aku cuma suka borak-borak. Dalam masyarakat kita hari ini, semua orang suka borak. Ada yang borak kosong, ada yang borak nak mengampu, ada yang borak nak mengutuk aje. Itu dia orang punya fasal, aku tak campur.

Aku cuma nak tulis apa yang aku nak kata aje. Tadi aku tengok TV siaran langsung sambutan tahun baru. Alamak, boleh sakit jiwa dibuatnya! Tak ada idea baru langsung. Asyik-asyik tunjuk orang Melayu kat Dataran Merdeka sorak-sorak sambil dengar lagu Malaysia Gemilang! Aku nampak PM dengan isterinya tercegat atas pentas dengan wajah letih dan boring! Itu yang terbaik dibuat oleh TV1!

Aku tukar channel tengok TV3. Pun hampir sama. Ada Mawi yang jelas nampak lesu. Ada Jamal Abdillah nyanyi lagu Seroja. Lepas tu, dua emcee naik pentas ajak semua orang sambut 2008. Tak bermaya, tak kreatif, tak ada mood...

Aku tak faham benar. Ngapa tak ada perubahan langsung? Di malaysia ni tak ada orang kreatif ke? Kalau tak buat siarang langsung tak boleh ke? Kalau setakat nak tayang artis kita nyanyi-nyanyi atas pentas dan lepas tu cuba tunjuk mereka semua gembira, aku fikir tak payahlah.

Aku berani kata, tahun depan pun sama juga! Pihak yang bikin program ni semua takut nak buat persembahan bernafas baru kerana terlalu banyak orang 'pandai' di RTM mahupun di TV3. Kalau mereka betul-betul kreatif, nanti ada pulak pak pacak yang mewakili orang politik yang bagi macam-macam komen yang menyekat dan membantutkan kreativity orang kita.

Apapun, aku nak ucap Selamat Tahun Baru! Cuma aku nak kata, sama-samalah kita tengok apa yang akan selamat atau tak selamat di tahun baru nanti. Gua blah dulu beb!